Pandai Menjahit Sejak Usia 5 Tahun, Budak Cilik Siapkan 100 Helai PPE

Walaupun baru berusia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri tidak membuang masa sebaliknya memahami dengan menggalas tanggungjawab ketika negara mengekang wabak Covid-19.
Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah itu mempunyai kemahiran menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan ‘frontiliner’ di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
Menerusi laporan Astro Awani, dia yang belajar menjahit sejak berusia lima tahun menggunakan masa sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bantuan ibunya Hasnah Hud.
Menurut Hasnah, anak sulung daripada tiga beradik itu secara sukarela berbuat demikian selepas mengetahui barisan hadapan negara berhadapan masalah kekurangan bekalan PPE.
Hasnah berkata, anaknya itu sudah mula menjual hasil jahitannya kepada penduduk sekitar kawasan perumahan mereka ketika berusia tujuh tahun.
Bagi menyiapkan sepasang PPE, Afia mengambil masa kira-kira sejam untuk dihasilkan dan kini sebanyak 100 pasang telah dihantar ke hospital tersebut.


Sumber : Astro Awani